UMPAMA bertulang besi, berurat dawai. Itulah kudrat seorang ibu diperah sepenuhnya setiap hari semata-mata ingin membesarkan sembilan anak lelaki meskipun, pada hakikatnya berapa kuatlah tenaga sebenar dimiliki seorang wanita yang sering kali juga dianggap lemah.
Bagaimanapun, Awiah Awi adalah wanita yang memiliki semangat juang sangat tinggi dan demi membantu suami menyara keluarga, dia tidak pernah melihat kelemahan itu wujud dalam dirinya. Lalu, ketika usia mudanya beliau sedaya upaya melakukan pelbagai pekerjaan seperti menjual kuih dan menjahit serta kerja berat lain yang boleh mendatangkan rezeki halal.
Beliau tidak pernah lelah mahu pun mengeluh, semata-mata mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Berkat kegigihan dan ketulusan hati seorang ibu, Awiah dinobatkan sebagai Ibu Mithali ke-10 dan boleh berbangga kerana semua ‘hero’ dididik dengan tegas tetapi penuh kasih sayang kini meniti kejayaan hidup masing-masing.
Pemilihan Awiah, 64, pada majlis Penganugerahan Ibu Mithali ke-10 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), baru-baru ini amat tepat lebih-lebih lagi jika mengambil kira kejayaan dicapai, sumbangannya kepada masyarakat, tanggung jawab dan pengorbanan mahu pun kejayaan anak-anaknya.
Awiah yang berasal daripada Muar, Johor Bahru berkata, membuatnya berasa lebih gembira dan bahagia ialah apabila semua anak-anak walaupun sudah berjaya di dunia, mereka tidak pernah lupa untuk memberi sumbang bakti dalam kerja kebajikan masyarakat dan aktiviti keagamaan.
Awiah yang turut memiliki 42 orang cucu dan seorang cicit berkata, semua kejayaan keluarganya sekarang adalah hasil didikan tegas bersama arwah suaminya, Hamid Samad, seorang bekas tentera yang meninggal dunia empat tahun lalu kerana sakit tua.
Mengimbas kehidupannya, Awiah berkata beliau berkahwin muda ketika berusia sembilan tahun bersama pasangan hidupnya yang juga pilihan keluarganya tetapi hanya memulakan hidup sebagai suami isteri ketika beliau berusia 13 tahun tanpa sebarang pengalaman untuk menjadi seorang ibu muda.
Namun, hari ini, hampir semua anaknya yang berusia antara 20 tahun dan 48 tahun berjaya dicorakkan menjadi insan berguna sehingga berjaya menggenggam ijazah serta mempunyai kerjaya baik seperti pengurus, doktor, pengetua dan ahli perniagaan.
Ditanya apakah, cabaran besar mendidik anak ramai, apatah lagi semuanya lelaki, Awiah berpendapat tidak adil untuknya membuatkan perbandingan kerana tidak berkesempatan dan berpengalaman membesarkan anak perempuan. Dia hanya sempat membesarkan anak perempuan selama lapan bulan kerana satu-satunya anak perempuannya, anak kedua dalam keluarga meninggal dunia ketika berusia lapan bulan.
Tidak kira anak perempuan atau lelaki, sebagai seorang ibu sudah menjadi tanggung jawabnya untuk memberikan kasih sayang dan didikan sempurna kepada mereka supaya menjadi insan berguna dan mempunyai bekalan di dunia dan akhirat.
“Saya tidak dikurniakan anak perempuan, jadi anak-anak lelaki saya perlulah belajar membuat kerja rumah seperti menyapu, membantu di dapur, membasuh pinggan, mengemas, lap tingkap dan sebagainya. Tetapi, anak yang bakal menduduki peperiksaan perlu menumpukan perhatian terhadap pelajaran masing-masing manakala yang lain meneruskan tanggung jawab membantu saya. Arwah bapa mereka pula akan memberi hadiah jika mereka cemerlang dalam pendidikan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan itu.
Sebagai tokoh Ibu Mithali ke-10, Awiah membawa pulang wang tunai RM25,000, pakej umrah bagi tiga orang, kerongsang berlian, sepasang jubah dan selendang, al-Quran digital, trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Awiah memberitahu, kehidupan mereka sekeluarga sebelum ini selalu berpindah-randah kerana mengikut suami bertugas. Oleh itu, hampir semua urusan keluarga dan anak terletak di bahunya. Memikul tanggungjawab itu, Awiah perlu memastikan anak berdisiplin dan saling membantu.
Sebagai ibu sudah tentu perasaan risau sentiasa wujud dalam diri, andai ada anak terjebak gejala tidak sihat apatah lagi semua anaknya lelaki. Justeru, dalam senyap, Awiah sentiasa memeriksa beg sekolah anak-anak untuk memastikan mereka tidak terbabit dengan perkara negatif, malah dia melarang anak-anak merokok.
Penekanan terhadap agama Islam sentiasa diutamakan Awiah pada anak-anak, menunaikan solat fardu dan sunat serta mengikuti kelas agama. Mereka sekeluarga juga selalu sembahyang berjemaah dan lazimnya, selepas solat Awiah akan membacakan hadis kepada anak-anak sekali gus ia banyak memberi pengajaran dan membantu membentuk keperibadian positif anak-anak.
Anak-anak turut dididik supaya sentiasa bersabar dalam semua urusan, di samping menghormati orang tua dan mengamalkan akhlak yang mulia.
“Dulu, ketika anak-anak masih kecil, saya selalu ketuk pintu untuk bangunkan mereka mengerjakan solat, malah hingga ke hari ini, saya masih mengingatkan mereka supaya tidak mengabaikan agama,” katanya sambil ketawa kecil.
Menyedari kesusahan hidup dan tidak mempunyai banyak duit, Awiah juga mengajar dan memupuk anak budaya menabung. Malah, berkat kerja keras dan jimat cermat, Awiah dapat membantu suami membeli tanah dan rumah.
Kejayaan anak-anak dan kehidupan keluarga Awiah sering menjadi rujukan atau contoh kepada masyarakat di kampung mereka. Misalnya, anak sulung, Saudi adalah anak kampung yang pertama masuk universiti manakala anak kelima, Mohd Fadzli berjaya menjadi doktor pertama dalam kampung mereka.
Kehidupan senang dan stabil dinikmati selepas anak-anak berjaya dalam kerjaya masing-masing, ternyata tidak pernah mengaburi mata Awiah. Walaupun mampu melancong jauh ke luar negara, membeli banglo mewah dan memakai barangan berjenama, Awiah dengan tulus ikhlas mewakafkan tanah dan sebahagian rumah untuk pembinaan Madrasah Tahfiz Al-Quran An-Nuur serta membiayai sebahagian pelajar miskin. Bukan setakat itu, dua bilik rumahnya dikhususkan untuk guru yang mengajar agama dan al-Quran untuk masyarakat setempat.
Mengharungi hidup selepas bergelar balu, Awiah kini banyak menghabiskan masa menguruskan dusun tinggalan arwah selain memberi tumpuan kepada pengurusan tahfiz dengan dibantu anak kelapannya, Norafendi, yang juga guru tahfiz di situ. Apa yang pasti Awiah sentiasa menjadi inspirasi kepada anak-anaknya.
PROFIL:
Nama: Awiah Awi
Umur:64 tahun
Tarikh lahir: 1 Mac 1946
Asal: Kesang Laut, Muar, Johor
Nama suami: Allahyarham Hamid Samad (pesara tentera)
Pendidikan formal: Darjah 6
Pendidikan tidak formal: Kelas Hadis
Anak 9 orang (semua lelaki)
1. Saudi - Usahawan (lulusan bidang fizik)
2. Roslan - Jurutera Kanan Petronas (lulusan kejuruteraan kimia)
3. Abdul Fatah - Pembantu perubatan, lulusan Diploma Psikiatri
4. Mohd Fauzi - Pengurus Maxis (lulusan pengurusan rangkaian & telekomunikasi)
5. Mohd Fadzli - Doktor (klinik sendiri), lulusan perubatan
6. Mohd Fadzil - Penolong Pengurus MMU Cyberjaya (graduan universiti)
7. Norhisham _ Pengurus Felda (lulusan biologi gunaan)
8. Norafendi - Pengetua Tahfiz (graduan universiti)
9. Mohd Farid - sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah
**bila pulak aku nak dinobatkan sebagai ayah mithali??
Nama: Awiah Awi
Umur:64 tahun
Tarikh lahir: 1 Mac 1946
Asal: Kesang Laut, Muar, Johor
Nama suami: Allahyarham Hamid Samad (pesara tentera)
Pendidikan formal: Darjah 6
Pendidikan tidak formal: Kelas Hadis
Anak 9 orang (semua lelaki)
1. Saudi - Usahawan (lulusan bidang fizik)
2. Roslan - Jurutera Kanan Petronas (lulusan kejuruteraan kimia)
3. Abdul Fatah - Pembantu perubatan, lulusan Diploma Psikiatri
4. Mohd Fauzi - Pengurus Maxis (lulusan pengurusan rangkaian & telekomunikasi)
5. Mohd Fadzli - Doktor (klinik sendiri), lulusan perubatan
6. Mohd Fadzil - Penolong Pengurus MMU Cyberjaya (graduan universiti)
7. Norhisham _ Pengurus Felda (lulusan biologi gunaan)
8. Norafendi - Pengetua Tahfiz (graduan universiti)
9. Mohd Farid - sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah
**bila pulak aku nak dinobatkan sebagai ayah mithali??
2 comments:
nak jadi ayah mithali kena la khwin dulu.. hehehe.. -gee-
same macam nenek saudara l0lly, penah jadi ibu mithali gak :)
anak2 semua berjaya gila :DD
Post a Comment