Hari ini genap 12 hari sejak jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, hilang secara tiba-tiba bersama tiga lagi individu iaitu pemandunya, peguam peribadi serta seorang pegawai bank.
Berita kehilangan pengasas empayar produk kecantikan Novelle Visages itu bukan saja mengejutkan masyarakat pada ketika umat Islam menghitung hari menyambut Aidilfitri malah menarik minat yang bukan sedikit terhadap perkembangan terbaru kehilangannya.
Walaupun Sosilawati dikenali ramai apatah lagi beliau pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi kumpulan Lefthanded, Nasharuddin Elias atau Nash, tetapi tidak ramai yang mengetahui betapa berliku perjalanan wanita ini sebelum mampu membina empayar syarikat kosmetik sendiri seterusnya bergelar jutawan.
Sosilawati adalah anak keenam daripada 14 adik beradik hasil perkahwinan Allahyarham bapanya, Lawiya Abdullah Yusof serta ibunya, Yatmah Abdul Rahman, 80.
Bapanya yang juga seorang buruh kasar turut mempunyai seorang lagi isteri, Ruminah Wasidin dan tujuh lagi anak bersama isteri keduanya itu.
Menerusi adik ketujuhnya, Rosnani Lawiya, 45, antara saudara kandung paling rapat dengannya berikutan jarak usia yang hampir, segala jerih-perih Sosilawati, seorang anak kelahiran Kampung Sri Menanti, Sri Medan untuk ke puncak jaya dikongsi bersama untuk tatapan semua.
Rosnani berkata, kakaknya itu tidak pernah menyimpan cita-cita menjadi seorang jutawan mahupun seorang yang dikenali ramai apatah lagi membina empayar kosmetiknya sendiri.
“Hanya satu yang Kak Wati idamkan dan sering disebut-sebutkannya sejak di usia remaja, iaitu mahu membantu keluarga dan membantu mereka sedaya upaya. Dulu di kampung, kami antara keluarga orang susah tetapi hidup gembira seadanya.
“Ketika itu setiap kali musim raya tiba, Kak Wati selalu mengatakan kepada saya jika beliau mendapat kerja yang bagus nanti, dia akan membelikan semua ahli keluarga kami pakaian baru serta cantik seperti yang dipakai jiran tetangga,” katanya kepada Berita Minggu.
Disebabkan tekad kuat untuk membantu keluarga, Rosnani berkata, kakaknya sanggup belajar semula di sekolah swasta selepas gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika itu.
Beliau berkata, kakaknya turut mengajaknya yang juga gagal dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP) untuk mengambil semula peperiksaan berkenaan di sekolah swasta.
“Bagi menampung perbelanjaan, Kak Wati dan saya akan menoreh getah seluas lima ekar (dua hektar) milik penduduk kampung, setiap kali selepas pulang kelas di bandar semata-mata bagi membayar tambang bas RM20 sebulan untuk ke kelas selain kos yuran.
Rosnani berkata, Sosilawati kemudian bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di bandar daerah ini selama satu setengah tahun selepas berjaya menyelesaikan pelajaran di sekolah swasta terbabit sebelum bertukar haluan sebagai seorang kerani kaunter di sebuah hotel di sini.
Katanya, genap usia 20 tahun, kakaknya mengambil keputusan meninggalkan daerah ini untuk merantau ke Kuala Lumpur mencari peluang pekerjaan yang lebih baik dan berjaya mendapat pekerjaan sebagai setiausaha kepada pengurus sebuah bank di ibu kota.
“Ketika bekerja itulah, Kak Wati bertemu jodoh dengan pengurus bank berkenaan ketika berusia 21 tahun dan sempat melahirkan enam anak hasil perkongsian hidupnya sebelum berpisah 12 tahun kemudian.
“Detik perpisahan itulah bermulanya Kak Wati dalam dunia kosmetik, apabila berjinak-jinak sebagai jurujual kosmetik dari rumah ke rumah bagi menyara anaknya. Saya masih ingat lagi Kak Wati menceritakan dia terpaksa menebalkan muka mengetuk pintu dari rumah ke rumah bagi menjual produk kosmetik diedarkannya itu,” katanya.
Beliau berkata, walaupun kakaknya itu sudah berjaya dalam hidup, beliau tidak pernah sekalipun meninggi diri serta melupakan asal-usul serta janjinya untuk membantu keluarga.
"Kak Wati seorang yang penyayang, lembut dan tidak pernah membanggakan diri malah menunaikan janjinya dulu untuk membantu setiap ahli keluarga kami. Apa yang paling mengharukan kami adik beradik ialah beliau pernah mengatakan dia tidak mahu melihat kami hidup susah di saat rezekinya dimurahkan Tuhan.
"Kak Wati tidak pernah kedekut menghulur bantuan termasuk wang ringgit malah sanggup memberi peluang pekerjaan serta perniagaan kepada kami supaya kami adik beradik dapat mengubah kehidupan kami sepertinya," katanya.
Monday, September 13, 2010
Biodata Datuk Sosilawati Lawiya
Posted by Mohd Sukur Ibrahim at 11:23 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
i feel so sad that this has happened to someone who's so loving to her family.i feel the saddness because, i have a sister too the same age of datuk sosilawati and takes care of her family the way you have describe datuk sosilawati does.sometimes we just cant explain why things happen the way it does.god bless her.
salam dan selamat hari raya..al fatihah buat mereka semua
Post a Comment