Hai korang. Lama sangat tak update blog adalah kebiasaan bagi aku. Haha. Hidup penuh pancaroba lagi onak duri memang menjadikan aku terkekang dengan masa dunia sendiri. Susah nak mengintrepitasikan (canggih ayat!) keadaan hidup aku sekarang. Abaikan sebab aku bukanlah attention seeker dari segi kehidupan aku seharian cukuplah korang semua perasan koCOMELan aku. Itulah perhatian yang aku perlukan.
Banyak nak berkongsi tapi apakan daya.....
Kali ini topik yang lebih serius!
Penjaga OKU- Komuniti Mulia Amat
Tajuk yang sangat lah aku nak tulis berkurun lama ku rahsiakan cintaku padamu hanya kerna kau ratu laksana disinggahsana yang lalu tapi rasa belum mampu lagi jari jemari bulat dan gebu ni nak menaipnya. Cuma beberapa waktu terdekat ni aku seperti selalu sangat berdepan dengan ramai penjaga OKU tak kisahlah ibu bapa, guru-guru PDK, guru-guru pendidikan khas dll.
Dan juga dalam Bajet 2013 yang dibentangkan PM Dato Seri Najib juga ada berkenaan Projek Perintis bagi pelaksanaan TASKA OKU yang aku pun kurang pasti bagaimana dan apa perbezaan nya dengan pusat PDK (pemulihahan dalam komuniti) yang sedia ada.
Aku pun dahulu adalah antara bekas pelajar di PDK Batang Pinang di Melaka selama hampir 7 tahun.. walaupun sudah memasuki sekolah rendah setiap hujung minggu aku pasti berkunjung ke sana menyertai setiap aktiviti tersedia. Memang bagi aku sendiri pengorbanan penjaga-penjaga, sukarelawan, pihak pengurusan PDK banyak membantu aku dan kawan-kawan yang lain terutama dari segi pengurusan diri sendiri sangat aku hargai. Ingat lagi Cikgu Aminah yang dari umur aku 5 tahun sehingga sekarang beliau masih di PDK Batang Pinang. Kesabaran dan kasih sayang beliau memang tiada perkataan yang mampu terungkap...
Cikgu Aminah tengah tepuk tangan, aku nun nampak kepala bersungguh-sungguh berkaraoke. 2 tahun lepas....
Pelajar setia di PDK Batang Pinang dari aku umur 5 tahun hingga saat aku amik gambar ni dia masih di pdk. (2 tahun lepas jugak gambar ni)
Paling penting rasanya kesabaran- untuk mereka OKU yang bersikap hyperaktif, susah memahami arahan dan tidak dapat menguruskan diri sendiri kesabaran memang perlu wujud!
Pendidik yang terlibat dengan golongan OKU ini seharusnya diberi perhatian agar mereka sentiasa sabar dan bersemangat untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik dan menjadi contoh kepada pendidik yang lain.
*ada macam karangan BM Tingkatan 5 tak?*
Kawan di PDK
Masa open house di rumah mak abah masa bulan Syawal yang lalu, aku jumpa dengan kawan sewaktu aku di PDK dahulu, Firdaus namanya. Dulu Firdaus tak boleh berjalan... kalau nak berjalan pun guna tongkat yang ada empat... Hasil latihan di PDK sebelum ni dan kasih sayang mak dia, Firdaus sekarang dah boleh berjalan dan menguruskan diri sendiri.. siap dah bekerja...
Aku pun dulu sebelum dihantar ke PDK, makan memang mak yang suapkan..mak taknak suap aku taknak makan.. Kecik kecik dah gedik! Masuk PDK baru reti nak guna tangan yang comel tu.
Kenangan terindah dengan Firdaus masa kami sama-sama berlakon pentomin untuk PDK masa umur aku 6 tahun kot...aku berlakon jadi wakil JKM menasihatkan Firdaus yang merupakan seorang ayah yang suka mendera anak-anak OKU. *sila bayangkan kecomelan aku berlakon menasihatkan ayah orang- "Encik, anak-anak anugerah Allah yang datang bersama rahmat dariNya"* siap alih suara DJ radio Melaka yang buat tau... Kelas kau!
Terima kasih warga PDK dan JKM yang memberi memori indah untuk aku ingati. Tempat yang membuatkan aku tabah menerima diri dalam sebuah komuniti.
Firdaus dengan mak dia yang sudi datang ke rumah aku. Semoga dipermudahkan urusan kamu sekeluarga
-Tentang sekolah dan kawan-kawan
*nanti aku ceritakan betapa meriahnya sekolah dan kawan-kawan, bila? tak janji hahahha* Tapi terima kasih buat kawan-kawan yang menjaga aku di sekolah asrama dahulu, matrik Melaka dan UKM... Yang tolong encang (kendong) pergi masjid nun jauh nak menapak, redah sungai membawa aku yang sepikul dan lain-lain. Korang semua episod penting dalam hidup aku. Tentang cikgu yang rotan bontot aku. Sangat indah.
-Tentang Keluargaku
Mungkin sudah nasib mak mempunyai anak OKU seperti aku... Dan bukan aku seorang tapi masih ada 2 lagi adik beradik aku yang terlantar di rumah. Sudah 28 tahun mak jaga anak-anak OKU. Entah ubat kebal mana yang mak makan sehingga begitu hebat membesarkan kami.
Abang (Abang Tuah) aku yang kedua hilang upaya masa umurnya lebih kurang 5 tahun, kata doktor masalah saraf yang menyebabkan tulang2 mengecut dan lama kelamaan dari seorang kanak-kanak yang sudah boleh mengaji, berlari bermain bersama-sama kawan yang lain Abg Tuah kini terlantar di rumah tanpa boleh bergerak. Kaku di atas katil
Perkara sama berlaku pada adik bongsu ku..... Cuma keadaan adik (Atul) lebih baik dari Abg Tuah. Atul boleh mengensot untuk ke mana-mana, boleh main permainan dia yang kita orang panggil MenMen-seekor lebah yang dah patah sayap. Album-album gambar dalam almari semua dikoyak dan ada kesan air liur nya.... Itulah penyeri hidup mak.
Sumpah aku sayang mak lebih dari nyawa aku! Kesabaran mak membesarkan kami. Menerima kami sebagai anak dan menjadi ibu yang sempurna kepada aku tak mungkin terbalas.
Entah apa perasaan mak aku pun tak dapat gambarkan... dan seboleh-bolehnya taknak pun bayangkan luluh hati seorang ibu melihat 3 anaknya bukan manusia normal...
Sehingga kini rutin hidup mak masih sama, seawal jam 7.00pagi dah memasak nasi untuk Abg Tuah dan Atul yang makanan nya hanya nasi berlauk dan air milo. Lambat sikit dari jadual memang suara Abg Tuah akan memenuhi ruang rumah.. Tangisan Abg Tuah tiada siapa pun mampu hentikan. Tapi Abg Tuah jarang menangis.... Baik Abg Tuah ni....
Lebih kurang pukul 10pagi baru Abah mandikan Abg Tuah dan Atul. Siap-siapkan, bedak wangi-wangi dan sikat rambut.
Pukul 1, masa untuk makan tengah hari pulak...
Pukul 6 petang suapkan untuk makan malam... dan mandikan...
Abg Tuah memang senang tidur sebab itu sahaja yang mampu dia buat dalam keadaan dia terbaring. Atul pulak suka main sampai pukul 2-3 pagi. Tengok pada mood dia waktu tu.
Mak terpaksa berjaga takut-takut Atul sampai ke dapur entah apa yang dicapainya nanti.
Tukar pampers , suap makan, mandikan, pakaikan baju, tidurkan... mudah je aku taip untuk melaksanakan memang satu tanggungjawab besar. Lebih 25 tahun kut buat perkara sama... Zaman-zaman dulu lagilah bila mana nak mencari rezeki lagi membesarkan anak-anak lain yang masih kecil....
Bila nak kemana-mana memang mak abah akan fikirkan abg Tuah dan Atul dahulu... Keterbatasan pergerakan antara perkara yang menjadi isu dalam menjaga OKU lebih lebih lagi yang terlantar di atas katil
Ingat mak takde rasa malas, penat dan jemu ke? Tentu ada... Tapi kasih sayang seorang ibu tulah yang buat mak tak pernah berhenti menjadi mak yang terbaik buat anak-anak (Mesti mak korang pun macam ni kan? Baik sangat)
Semua ahli keluarga kecuali anak buah yang sulung *kakak yang merajuk di pagi raya sebab Cik Sukur lebih cute dari dia
Tentang Aku-
Mana entah kekuatan mak abah dapat untuk membesarkan aku. Beri aku peluang untuk bersekolah sama seperti Abg Epul, Kak Ngah dan Pijon. Hantar aku ke asrama sejak aku masuk ke Tingkatan 1. Hantar aku masuk UKM...
Walaupun belum seberjaya mana... pun tak berjaya jadi Doktor mahupun Majistret(eh apa kaitan?) .... Aku tetap katakan apa yang aku punya sekarang ada hasil pengorbanan mak abah! Nak lebih berjaya...
Perniagaan D Strike Solution yang aku bina dengan susah payah dalam masa 3 tahun ni juga antara hasil pertolongan mak abah yang bagi sedikit sebanyak hulurkan modal (hahaha tapi tak da share ponggggg! Hokkkk alooohhh kata Jozan dalam Lawak Ke Der 2!)
Kesabaran dan kepercayaan yang mak abah bagi kepada aku seorang anak OKU untuk terus membesar dan menikmati kehidupan hingga ke hari ini pastinya tak mampu terbalas. Semoga aku mampu jadi anak yang mengenang budi betapa mulia kedua ibubapa aku dalam membesarkan kami.
Terima kasih kat Abg Epul dan Kak Ina yang banyak berjasa pada kami bertiga, Tuah, Sukur, Atul. Terima kasih Kak Ngah, terima kasih Pijon.
Panjang entry kali ni....yang aku ambil masa 3 hari untuk siapkan. Yang aku fikir berbulan-bulan yang lalu untuk dikongsikan....
Harapan aku (amboi siap ada harapan kau!hahaha)
Semoga semua yang punya anak OKU, pendidik warga OKU dan semua orang disekeliling warga OKU menjdi penjaga OKU yang kuat dan tabah.. mampu menikmati hidup dengan gembira walaupun terlalu sibuk dan penat menguruskan kami. Anda komuniti mulia.